PERCINTAAN hanya ada dua penyelesaian, sama ada berkahwin atau berputih mata. Namun buat pelawak muda yang pernah menjulang anugerah Artis Paling Popular pada awal kemunculannya, Ahmad Nabil Ahmad, 28, kisah cintanya ibarat fantasi Bollywood yang berakhir di jenjang pelamin.
Nabil bukan lagi anak bujang, jangan lagi dia dikait-kaitkan dengan cerita putus kasih bersama bekas kekasihnya Irma Hasmie yang terputus di tengah jalan. Selepas solat Jumaat kelmarin, Nabil selamat memeterai akad menjadi nakhoda rumah tangga kepada Nazirah Ayub, 23.
Berlatarkan Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya, merpati dua sejoli itu disatukan ikatan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd. Ridza Ahmad berwalikan bapa kepada pengantin perempuan sendiri Ayub Hassan.
Bersaksikan keluarga kedua-dua pihak, kenalan terdekat serta wakil media, Nazirah menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan sebentuk cincin bernilai RM5,000 manakala wang hantaran ditetapkan sebanyak RM15,000. Pada malam ini, mereka berdua bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan fantasi di i-City, Shah Alam.
Berikut sedikit gambaran, debaran dan perasaan Nabil dan Nazirah sebaik bergelar suami isteri.
SENSASI BINTANG: Ada bisik-bisik menyifatkan keputusan Nabil berkahwin ini sebagai langkah menutup zaman nakal, apa komen Nabil?
NABIL: Saya cakap terus-teranglah, langsung saya tidak terlintas bahawa perkahwinan saya ini untuk tutup sebarang kontroversi atau tutup zaman itu atau ini. Saya ikhlas mengahwini Nazirah. Sudah lumrah artis memang tidak sepi daripada cerita-cerita gosip dan tidak semestinya bila sudah kahwin seseorang artis itu tidak akan berdepan dengan cerita sensasi.
Nazirah bukan artis, adakah itu dianggap satu kelegaan buat Nabil kerana dia bukan tumpuan media?
Memang sejak dari awal lagi saya sangatlah lega kerana Nazirah tidak terlibat dengan industri seni. Dalam bidang ini, saya sendiri sedar tentang sikap dan perangai orang dalam industri. Lagipun Nazirah sendiri tiada kawan artis selain saya.
Bagaimana persiapan diri untuk melayari fasa alam berumahtangga?
Isteri saya ini berminat dengan perniagaan, jadi dia akan cuba buka bisnes butik pakaian serta cenderahati wanita. Asalkan tidak lalai daripada tugasnya sebagai isteri, saya okey. Saya sendiri akan teruskan karier dalam bidang seni dan terus kerja kuat untuk masa depan keluarga, mana tahu lepas ini akan ada cahaya mata pula.
Perkahwinan pasti berhadapan pasang surut tapi perkahwinan artis lebih hebat cabarannya, kalian sendiri bagaimana?
NAZIRAH: Seboleh-bolehnya saya akan cuba bersikap lebih terbuka dan kena banyak bersabar dan memahami sedalam-dalamnya karier suami sebagai artis. Mungkin cara itu mampu mengekalkan hubungan kami. Selebihnya doa dan tawakal kepada Allah.
NABIL: Saya janji akan menjadi sebaik-baik suami dan mengubah mana-mana sikap orang bujang yang tidak sesuai lagi diamalkan bila sudah bergelar suami.
Sudah ada destinasi bulan madu?
Buat masa ini tiada perancangan, dapat selesaikan apa yang patut dan wajib pun sudah cukup melegakan lagipun, saya sudah ada jadual penggambaran yang perlu diselesaikan. Cuma satu sahaja harapan saya, saya sudah berniat untuk menunaikan umrah selepas kahwin. Jadi, kalau ada rezeki, hujung tahun nanti kami akan mengerjakan umrah bersama-sama. Saya harap sangat-sangat untuk ke sana dan biarlah umrah itu nanti akan jadi bulan madu buat kami berdua.
p/s: semoga mereka bahagia selama lamanya - via kosmo
No comments:
Post a Comment